Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Barisan 10 penerjun negara akan memulakan cabaran melayakkan diri ke temasya Olimpik Rio di Kejohanan Terjun Piala Dunia yang berlangsung di Brazil, esok.

Bagi penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman (gambar) dia kini sudah bersedia mengibarkan cabaran dan akan berusaha sebaik mungkin melayakkan diri secara merit ke Olimpik.

Bertanding dalam dua acara - 3 meter papan anjal individu dan seirama - bergandingan dengan Chew Yiwei, Amsyar berkata berbekalkan latihan keras di China keyakinannya untuk beraksi baik cukup tinggi.

“Biarpun sukar untuk kami melayakkan diri namun keyakinan itu tetap ada. Jika ada rezeki mungkin boleh layak.

“Ini peluang terakhir saya dan rakan lain untuk layak dan jika mengulas dari segi keyakinan diri tahap itu sudah mencapai 80 hingga 90 peratus,” katanya.

Katanya, apa yang penting ketika ini sentiasa berdoa dan mengatasi kelemahan diri dengan membuang sikap malas yang boleh menjejaskan prestasi.

Kejohanan Terjun Piala Dunia akan berlangsung di Pusat Akuatik Maria Lenk, venue sama berlangsungnya acara terjun pada temasya Sukan Olimpik Ogos ini.

Untuk layak secara merit ke Olimpik Rio, atlet terjun negara sekurang-kurangnya perlu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik acara individu dan lapan terbaik terjun seirama.

Empat penerjun negara sudah mengesahkan tempat di Olimpik Rio iaitu Pandelela Rinong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:20 AM