ANDREW berjaya memecahkan rekod acara kuak dada lelaki 50 meter (m) pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini. FOTO Zulkarnain Azman
ANDREW berjaya memecahkan rekod acara kuak dada lelaki 50 meter (m) pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini. FOTO Zulkarnain Azman
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Sambil menyelam minum air. Itu ungkapan yang sesuai menggambarkan prestasi perenang muda negara, Andrew Goh Zheng Yen yang mencipta sensasi apabila bukan sahaja memecah rekod kebangsaan acara kuak dada lelaki 50 meter (m), namun berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Akuatik 2023 di Fukuoka, Jepun Julai ini.

Pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini, perenang berusia 19 tahun yang unggul merekodkan 28.10 saat (s) untuk memadam rekod Wong Fu Kang 28.59s pada 2016.

Catatan itu juga menyaksikan Andrew berjaya melepasi had kelayakan yang ditetapkan bagi kategori B kejohanan dunia bersama-sama Khiew Hoe Yean dan Phee Jinq En.

Bagaimanapun ia tidak cukup untuk dirinya memenangi pingat emas apabila sekadar menduduki tempat ketiga selepas perenang Indonesia, Felix Viktor Iberle mengungguli acara itu (27.65s) diikuti atlet Namibia, Ronan Zuberge Wantenaar (27.84s).

"Sudah tentu untuk melayakkan diri ke kejohanan dunia atau Olimpik adalah impian sejak menceburi sukan ini pada usia tujuh tahun dan ia menjadi kenyataan ketika berusia 19 tahun. Saya berlatih dengan gigih bersama jurulatih dan ia nyata berbaloi.

"Bagi saya ia bukan nasib kerana ia semua berdasarkan kecekalan saya. Sekarang saya lihat diri saya ketika ini banyak peningkatan berbanding" katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.

Sepanjang empat hari kejohanan bermula Jumaat lalu Andrew berjaya menggondol lima pingat iaitu gangsa bagi acara 50m dan 200m kuak dada, tiga perak bagi acara 4x100 gaya bebas dan rampaian dan berganti-ganti serta 4x200 acara bebas berganti-ganti.

Sementara itu, perenang negara, Khiew Hoe Yean sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang apabila berjaya memperoleh pingat perak acara 100m kuak lentang lelaki dengan catatan masa 57.12s.

Atlet Wilayah Persekutuan itu terpaksa akur tumpas kepada perenang Taiwan, Liang-Yun Wu yang mencatat masa terpantas 56.44s manakala tempat ketiga disambar perenang Sarawak, Hii Puong Wei dengan merekodkan masa 58.79s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 7:55 PM