PERENANG negara, Khiew Hoe Yean mengangkat tangan selepas memenangi pingat emas acara 200 meter gaya bebas lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PERENANG negara, Khiew Hoe Yean mengangkat tangan selepas memenangi pingat emas acara 200 meter gaya bebas lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Impian Malaysia untuk merangkul pingat emas renang tercapai apabila Khiew Hoe Yean memenangi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Hoe Yean mencatatkan masa satu minit dan 47.81 saat di Pusat Akuatik My Dinh mengatasi pemenang perak dari Singapura, Quah Zheng Wen (1:48.20s).

Perenang Vietnam, Hoang Qu Phuoc (1:49.35s) melengkapkan podium manakala perenang negara, Welson Sim, yang menjuarai acara itu pada 2017, menduduki tempat keenam dengan catatan 1:50.63s.

Hoe Yean berkata, dia memang berusaha untuk mencipta kejayaan dalam acara itu.

"Saya berasa bagus dan bersedia sepenuhnya untuk Sukan Sea kali ini, selain teruja pada hari pertama berenang dalam acara individu dan dahagakan emas.

"Saya datang ke sini dengan sasaran mahu mencipta kejayaan bagi acara 200m kuak lentang, tetapi saya tidak akan berhenti di sini," katanya.

Ia adalah pingat keempat Hoe Yean di temasya kali ini selepas memenangi tiga perak bagi acara 400m gaya bebas, 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan acara kegemarannya iaitu 200m kuak lentang.

Perenang negara, Phee Jinq akan bersaing bagi acara 100m kuak lentang, esok dan dia adalah juara bertahan bagi acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:47 PM