SCHEFFLER muncul juara The Players Championship 2023. FOTO AP
SCHEFFLER muncul juara The Players Championship 2023. FOTO AP
AFP

Miami: Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Scottie Scheffler kembali ke kedudukan nombor satu dunia selepas muncul juara The Players Championship di TPC Sawgrass dengan kelebihan lima pukulan.

Scheffler berjaya melepaskan diri dalam pertarungan sengit Jelajah PGA AS di Pantai Ponte Vedra, Florida, selepas melakukan lima birdie berturut-turut antara lubang kelapan dan ke-12 tatkala pesaing utamanya tersingkir dalam perlumbaan mengejar kejuaraan.

Penyandang juara Masters itu akan menggantikan tempat pemain Sepanyol, Jon Rahm untuk kedudukan teratas pemain terbaik dunia hari ini.

Rahm terpaksa menarik diri di kejohanan berkenaan berikutan faktor kesihatan.

Scheffler memulakan aksi pusingan terakhir dengan dua pukulan mengatasi pemain Australia, Min Woo Lee, yang segera mengurangkan defisit hasil birdie pada lubang pembukaan.

Ketika Scheffler melakukan bogey di lubang ketiga, kedua-dua pemain terikat untuk memimpin aki namun ia berubah dengan pantas apabila Lee berdepan detik ngeri di lubang keempat apabila dia mencatat triple bogey.

Double bogey pada lubang ke-11 menyaksikan Lee tersingkir daripada perubatan juara dan ketika itu Scheffler berada di landasan terbaik dan mula mengorak langkah.

Scheffler menamatkan aksi di lubang ke-18 dengan penuh bergaya apabila melakukan put sejauh 6.4 meter sebelum menerima sorakan gemuruh.

Pemain England, Tyrrell Hatton menamatkan saingan di tempat kedua selepas melakukan penamat sensasi dengan lima birdie berturut-turut pada sembilan lubang terakhir.

Hatton menamatkan aksi 12 di bawah par 65 dengan pemain Norway, Viktor Hovland dan wakil tuan rumah, Tom Hoge berkongsi kedudukan ketiga-tiga selepas ketinggalan dua pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 9:16 AM