USTAZ Don (kiri) pamer kehebatan bersama Joe Ipoh. FOTO Joe Ipoh
USTAZ Don (kiri) pamer kehebatan bersama Joe Ipoh. FOTO Joe Ipoh
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jika disebut sukan luncur papan selaju (skateboard) banyak sisi negatif yang akan kita dengar sehingga aktiviti berkenaan suatu ketika dahulu dikaitkan dengan budaya tidak sihat.

Perkara itu membuatkan ramai ibu bapa menghalang anak-anak mereka untuk menceburi sukan itu walaupun ia mendatangkan banyak manfaat.

Bagaimanapun seiring dengan peredaran zaman, sukan itu kembali mendapat perhatian malah ia semakin popular selepas disenaraikan buat kali pertama di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Pendakwah terkenal Don Daniyal Don Biyajid turut tidak terlepas mempromosikan sukan ekstrem sambil menggunakan aktiviti berkenaan sebagai medium buat dirinya berdakwah kepada generasi muda.

"Bagi saya apabila mempromosikan sukan ekstrem saya berpandangan ia tidak akan memadamkan kredibiliti saya sebagai seorang ustaz.

"Sebaliknya saya nak tunjuk kepada semua orang mereka boleh main papan selaju, tidak ada masalah dan tanpa perlu menggadaikan agama.

"Bagi saya semua sukan tak berdosa, yang berdosa orang main sukan itu tapi mengabaikan agama," katanya ketika memperkenalkan papan selajunya hasil kolaborasi bersama jenama tempatan G-hard.

Mengulas lanjut berkenaan penglibatannya dalam dunia skateboard, Ustaz Don mendedahkan beliau meminati sukan luncur papan selaju sejak di usia remaja.

Beliau mula berjinak-jinak dengan sukan luncur papan selaju dan sukan-sukan lasak yang lain ketika menyambung belajar di Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 12:52 PM