ZAMRI (kiri), Ketua jurulatih sukan kasut roda ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Idroose Tambarin (kanan) dan Manjit Singh ketika sidang media selepas bertemu Abdul Azim di Wisma MOM. -Foto OWEE AH CHUN
ZAMRI (kiri), Ketua jurulatih sukan kasut roda ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Idroose Tambarin (kanan) dan Manjit Singh ketika sidang media selepas bertemu Abdul Azim di Wisma MOM. -Foto OWEE AH CHUN
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Malaysia mampu melakukan kejutan dalam sukan papan selaju (skateboard) pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, bulan depan.

Ketika melahirkan keyakinan itu, Setiausaha Agung Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA), Datuk Manjit Singh Gill berkata negara memiliki atlet berkemampuan dalam acara ‘park’ dan ‘street’ lelaki.

Katanya, antara atlet yang menjadi sandaran adalah Ian Nuriman Amri, 11, yang pernah beberapa kali muncul juara pada saingan peringkat kebangsaan biarpun masih muda.

“Malaysia hanya meletakkan sasaran menduduki tangga 10 terbaik di Sukan Asia 2018, namun tidak mustahil Ian mampu mencipta kejutan dalam acara park dan street lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di Wisma OCM di sini, hari ini.

Selain Ian, pasukan negara turut diwakili Yaziru Amiru Basyir Zainordin, 24, Fatin Syahirah Roszizi, 16, Christina Lai Grace, 13, dan Mohamad Hazim Syahmi Shahrum, 19.

Yaziru, Fatin dan Christina menyertai acara park dan street manakala Mohamad Hazim bagi acara lumba jalan raya 20,000 meter (roller skating).

Mengulas lanjut, Manjit berkata halangan utama atlet papan selaju Malaysia untuk pergi lebih jauh di Sukan Asia adalah kerana ketiadaan kejohanan kompetitif di peringkat Asia.

Katanya, bagi menghadapi Sukan Asia, MESA menghantar atlet negara menyertai kejohanan papan selaju di Suphan Buri, Thailand.

“Kita berharap usaha ini membolehkan atlet papan selaju negara menjalani latihan bersama pasukan Thailand dan membiasakan diri dengan trek yang memiliki kemudahan hampir sama dengan di Sukan Asia 2018 nanti ,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih sukan papan selaju, Mohd Zambri Ramli berkata Yaziru dijangka menerima cabaran hebat daripada peserta Thailand, Jepun, Indonesia dan Singapura.

“Matlamat utama kita pada temasya ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada atlet muda kerana acara papan selaju bakal dipertandingkan pertama kali di Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

“Buat masa ini belum ada ranking di peringkat Asia mahupun dunia. Jadi kita tidak tahu kedudukan sebenar atlet kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:03 PM