WAI Ching (kiri) mahu cipta rekod dunia Guiness tahun ini.
WAI Ching (kiri) mahu cipta rekod dunia Guiness tahun ini.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh larian menara dunia, Soh Wai Ching memulakan musim 2023 dengan langkah kanan apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan masa 7:18 minit (m) ketika menyertai Top Tower Run Komtar Penang, Sabtu lalu.

Menurut Wai Ching, meskipun dia hanya berlatih dua minggu sebelum kejohanan, namun tetap yakin mampu memecahkan rekod miliknya sendiri yang dicipta pada 2019 (7:39 m) sekaligus menjuarai kejohanan tersebut.

"Saya tahu prestasi saya sekarang jauh lebih baik berbanding 2019, jadi untuk memecahkan rekod bukan masalah buat saya. Selepas melepasi garisan penamat dan saya pantas menekan jam tangan, kemudian rebah sejurus selepas itu.

"Selepas itu bila melihat jam tangan, ia menunjukkan masa 7:23m. Selepas mengetahui keputusan rasmi dan membuat semakan dua kali pada jam tangan, saya mendapati telah membahagikan masa dan bukannya menghentikan masa.

"Jadi saya sebenarnya melakukan masa yang jauh lebih pantas daripada 7:23m. Saya dapat tahu masa rasmi saya ialah 7:18.88m dan saya memecahkan rekod sebelumnya dengan perbezaan 21 saat," katanya.

Dalam pada itu Wai Ching berkata, dia sangat bangga dengan prestasinya ketika ini dan gembira dengan pencapaian tersebut yang merupakan salah satu sasarannya untuk tahun ini.

Tambahnya lagi, selepas ini dia akan menyertai pertandingan yang bakal diadakan di Hotel Media One di Dubai, UAE.

"Sasaran saya tahun ini ialah mencatat setiap rekod kursus pertandingan yang akan saya sertai. Selain itu juga, saya turut menyasarkan untuk mencapai dua Rekod Dunia Guinness pada 2023," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 12:17 PM