PELUMBA Johor memecahkan rekod kebangsaan dua kali bagi memenangi pingat emas acara kejar-mengejar berpasukan wanita, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
PELUMBA Johor memecahkan rekod kebangsaan dua kali bagi memenangi pingat emas acara kejar-mengejar berpasukan wanita, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pasukan berbasikal Johor mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dua kali bagi acara kejar-mengejar berpasukan wanita di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Perlumbaan berlangsung di Velodrom Nasional Nilai itu menyaksikan pasukan Johor pada awalnya mencatat masa 4 minit 52.955 saat (s) pada pusingan kelayakan untuk memecahkan rekod lama, 4:57.898s yang dilakukan pasukan kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Asia 2018.

Selepas itu, pasukan Johor dibarisi Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Khairunissa Aleeya Saifulnizam, Normastura Norman dan Nur Syafika Natasha Kadir sekali lagi mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan dalam tempoh 4:47.317s pada perlumbaan akhir untuk mengatasi Terengganu.

Pasukan Terengganu yang dibarisi Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham, Nor Aisyah Munirah Che Ramli, Nurul Najwa Mohd Fauzi dan Siti Nur Alia Mansor meraih perak dengan 4:49.177s.

Manakala gangsa dimenangi pasukan Kedah (Anis Natasya Ahmad, Nur Fitrah Shaari, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Phi Kun Pan) selepas menamatkan perlumbaan dalam tempoh 4:57.269s.

Siti Nur Adibah berkata, dia percaya pelumba Johor mampu memecahkan lebih banyak rekod pada masa akan datang selain mengakui turun beraksi tanpa sebarang tekanan menjadi kunci kejayaan mereka.

"Saya fikir kami mampu memperbaiki rekod kebangsaan lagi selepas ini. Khairunissa dan Normastura masih boleh bersaing di Sukma akan datang dan mereka mempunyai bakat.

"Kami tidak pernah mencatat masa terpantas ini dalam sesi latihan sebelum ini atau ketika kejohanan lain. Kejar-mengejar berpasukan adalah sasaran emas kami, tetapi kami tidak pernah diberikan tekanan oleh jurulatih untuk memecahkan rekod kebangsaan.

"Jurulatih hanya memberitahu kami untuk memperbaiki catatan masa. Tidak sangka kami mampu memecahkan rekod kebangsaan dua kali iaitu di peringkat kelayakan dan final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 9:14 PM