AKSI  Rafiq  (kanan) bersama  Tun Ameerul  dalam acara beregu lelaki. FOTO Bernama
AKSI Rafiq (kanan) bersama Tun Ameerul dalam acara beregu lelaki. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


BALINGAN emas yang diharapkan daripada pembawa Jalur Gemilang di temasya Sukan Sea ke-30, Muhammad Rafiq Ismail yang juga atlet boling negara masih belum menjelma apabila dia sekadar meraih gangsa dalam acara beregu lelaki.

Dia yang muncul juara dunia untuk menamatkan kemarau 39 tahun di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong Disember tahun lalu gagal menyerlahkan potensi sebenar di Pusat Boling Pusat Membeli Belah Starmall EDSA, Manila, hari ini.

Malah, semalam dalam acara perseorangan lelaki dia turut gagal menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.

Sebaliknya, rakan sepasukan Timmy Tan membuat kejutan dengan mencatatkan balingan tertinggi 1,334 untuk menggenggam emas buat kem boling negara.

Jelas Rafiq, walaupun harapan tinggi diletakkan di bahunya, dia masih tetap tenang dan berharap mampu menghadirkan kilauan emas dalam baki tiga acara lagi beregu campuran (esok), berpasukan dan masters.

"Saya kena terima hakikat (masih gagal sumbangkan emas). Sebagai pemain boling dan atlet, sebenarnya saya tak fikirkan sangat mengenai status sebagai pembawa Jalur Gemilang yang wajib memberi emas.

"Bagi saya akan cuba yang terbaik dan harap dapat melakukan sesuatu. Saya masih ada acara lagi selepas ini. Apa yang saya perlu adalah bersabar dan tawakal. Mungkin rezeki dalam acara beregu campuran atau yang lain," katanya selepas upacara penyampaian pingat gangsa hari ini.

Dalam saingan beregu itu, dia yang berpasangan dengan Tun Ameerul Luqman Al Hakim hanya meraih 2,556 jatuhan pin.

Emas dimenangi beregu Indonesia Billy Islam dan Hardy Muhammad Drachmadian (2,592 jatuhan pin) manakala perak diraih pasangan Thailand, Atchariya Cheng dan Surasak Manuwong (2,564 jatuhan pin).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 4:31 PM