ALCARAZ juara Terbuka Madrid. -FOTO Reuters
ALCARAZ juara Terbuka Madrid. -FOTO Reuters
AFP

Madrid: Carlos Alcaraz meneruskan kebangkitannya apabila menewaskan Alexender Zverev dalam aksi final di Madrid dan berkata: "Saya benar-benar mahu membuktikan kemampuan saya dalam Grand Slam."

Dua minggu sebelum Terbuka Perancis, pemain muda Sepanyol itu menundukkan lawannya di ranking ketiga dengan 6-3, 6-1 dalam masa 62 minit dan melaungkan amaran bahawa tenis kini mempunyai kuasa baharu.

"Saya benar-benar mahu ke Paris untuk memenangi Grand Slam dan menunjukkan tahap saya dalam Grand Slam," kata Alcaraz pada sidang media selepas memenangi Masters 1000 kedua dalam kariernya.

"Orang ramai akan menganggap saya sebagai pemain pilihan, tetapi saya menganggap itu sebagai motivasi," katanya.

Tambahnya lagi, dia bakal terlepas kejohanan gelanggang tanah liat di Rome minggu ini selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Rafael Nadal pada suku akhir Jumaat lalu.

"Pagi ini selepas terjatuh ketika bertemu Rafa, saya bangun dengan buku lali yang bengkak dan saya juga mengalami lepuh yang semakin merebak," katanya.

"Ia agak sukar untuk berjalan, tetapi saya dapat melakukan beberapa perkara supaya berada pada tahap 100 peratus bagi perlawanan itu."

Sebelum kejohanan Madrid tahun lalu, Alcaraz menduduki tempat ke-120 dunia. Pada hari Isnin ini dia bakal menduduki tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 10:24 AM