Zuraidi Puteh (dua dari kiri), bersama pemain kebangsaan Sukan Sea tahun lalu. FOTO File NSTP
Zuraidi Puteh (dua dari kiri), bersama pemain kebangsaan Sukan Sea tahun lalu. FOTO File NSTP
BERNAMA

SKUAD boling padang negara dijangka menggunakan khidmat pemain pelapis sekiranya sukan itu dipertandingkan pada Sukan Sea ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan.

Ketua Jurulatih Skuad Boling Padang Kebangsaan, Zuraidi Puteh berkata skuad pelapis berkenaan akan dibentuk daripada peserta-peserta Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang ditunda ke tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada Vietnam berhubung penyenaraian sukan berkenaan sebelum membentuk skuad pelapis.

"Kita mahu skuad elit sedia ada memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama termasuk Kejohanan Dunia (World Bowls) di Australia dan Kejohanan Asia di China yang bakal dijadikan sebagai medan pemilihan ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England yang menjadi sasaran utama kita ketika ini.

Skuad elit kebangsaan dibarisi 20 pemain, iaitu masing-masing 10 pemain yang sedang dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Dunia serta Asia pada tahun hadapan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Baru-baru ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan lapan persatuan sukan iaitu sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan ragbi tujuh sebelah telah menghantar permohonan rayuan penyertaan ke Sukan Sea 2021.

Kali terakhir sukan boling padang tidak dipertandingkan adalah pada edisi 2015 di Singapura. Pencapaian terbaik Malaysia adalah juara keseluruhan acara itu di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dengan meraih tujuh pingat emas dan satu perak.

Vietnam dilapor bercadang menganjurkan 36 jenis sukan membabitkan 450 acara pada Sukan Sea 2021 dari 21 November hingga 2 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:18 PM