BEKAS pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dari Serbia tidak boleh beraksi di Terbuka AS kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. FOTO AP
BEKAS pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dari Serbia tidak boleh beraksi di Terbuka AS kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. FOTO AP
Reuters

New York: Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic tidak akan bermain di Terbuka Amerika Syarikat (AS), selepas menyatakan tidak akan ke New York berikutan tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

Peraturan terkini memerlukan pengembara menunjukkan sijil vaksinasi lengkap sebelum menaiki pesawat dan mahu memasuki AS.

"Sedihnya, saya tidak mampu berlepas ke NY untuk Terbuka AS kali ini," tulis Djokovic di Twitter.

"Selamat berjaya kepada semua pemain lain! Saya akan terus berada dalam keadaan terbaik dan kekal positif serta menanti peluang untuk bertanding lagi."

Sebelum ini, pemain Serbia itu menyatakan dia bersedia untuk tidak bermain di kejohanan Grand Slam yang memerlukan pemain lengkap vaksinasi Covid-19.

Djokovic sebelum ini berada dalam senarai undian pemain untuk kejohanan yang akan berlangsung mulai 29 Ogos hingga 11 September di New York.

Pemain berusia 35 tahun itu turut gagal mempertahankan gelaran Terbuka Australia tahun ini selepas dihantar pulang dari negara itu berikutan status vaksinasi pada Februari lalu.

Persatuan Tenis AS (USTA) menyifatkan ketiadaan Djokovic sebagai sesuatu yang malang dan menanti kehadirannya di Flushing Meadows, tahun depan.

"Novak adalah juara hebat dan agak malang dia tidak dapat bermain di Terbuka AS 2022, berikutan tidak dibenarkan memasuki negara ini berikutan polisi kerajaan berkaitan vaksin bagi bukan warga AS," kata Pengarah Kejohanan Terbuka AS, Stacey Allaster dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 9:07 AM