SKUAD petanque UiTM berjaya meraih dua emas.
SKUAD petanque UiTM berjaya meraih dua emas.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Teknologi MARA (UiTM) cemerlang dalam acara petanque selepas berjaya meraih dua pingat emas pada hari pertama dipertandingkan di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, hari ini.

Emas pertama UiTM hadir selepas atlet perseorangan wanitanya, Athirah Sareh berjaya menewaskan atlet dari Kolej Polytech MARA (KPM), Nur Afiqah Jasni 13-5 pada perlawanan akhir.

Kemenangan Athirah ternyata memberi suntikan semangat buat beregu lelaki UiTM iaitu Syed Afiq Fakhri Syed Ali dan Haris Jonaidey apabila mereka menewaskan gandingan Politeknik, Muhammad Darwish Hariri Waheb dan Ahmad Arif Hakimi Mohd Hannizan, 13-2.

Menurut jurulatih skuad petanque UiTM, Syed Ali Syed Akil, kejayaan meraih dua emas kali ini bertepatan dengan sasaran diletakkan UiTM bagi acara ini.

"Pencapaian hari ini memang ada dalam sasaran kami. Saya harap momentum ini dapat diteruskan dalam acara triple lelaki dan wanita yang akan berlangsung pada Isnin nanti.

"Saya berbangga dengan aksi ditampilkan atlet pada perlawanan ini. Alhamdulillah kami berjaya mencapai sasaran yang diletakkan UiTM bagi sukan petanque di temasya," katanya ketika ditemui di Gelanggan Petanque Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Untuk rekod, kategori individu lelaki dimenangi atlet Universiti Malaysia Pahang (UMP), Wan Mohamad Farihin Wan Rosli yang menumpaskan wakil Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Asyraf Wajdi Kamarozaman, 13-8.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 8:19 PM