ATLET Qatar, Mutaz Essa Barshim menang pingat emas dunia kali ketiga berturut-turut. FOTO EPA
ATLET Qatar, Mutaz Essa Barshim menang pingat emas dunia kali ketiga berturut-turut. FOTO EPA
Reuters

Eugene: Atlet Qatar, Mutaz Barshim menang pingat emas lompat tinggi dunia buat kali ketiga berturut-turut, hari ini, apabila mencatat 2.37 meter (m) dan sukar ditandingi pencabar.

Barshim yang berkongsi pingat emas Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu dengan atlet Itali, Gianmarco Tamberi mudah melepasi catatan terbaiknya musim ini iaitu 2.30m.

Gelaran sudah menjadi miliknya apabila dia melepasi 2.35m, tetapi dia kemudian mencatat 2.37m.

Ketika berbaki satu lompatan, dia cuba melepasi rekod kejohanan, 2.42m, tetapi gagal.

Juara dunia dalam dewan, Woo Sang-hyeok dari Korea Selatan memerlukan tiga percubaan untuk melepasi 2.33m, tetapi kemudian berjaya mencatat 2.35m untuk memenangi perak.

Atlet Ukraine, Andriy Protsenko memenangi gangsa dengan catatan 2.33m.

Aksi Tamberi agak meragukan apabila dua kali gagal melepasi 2.25m dan 2.28 di saringan Jumaat lalu.

Di final, dia dua kali gagal melepasi 2.30m, sebelum mencatatkan 2.35m dan menduduki tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 1:47 PM