OMANYALA berdepan masalah kelewatan visa ke AS. FOTO REUTERS
OMANYALA berdepan masalah kelewatan visa ke AS. FOTO REUTERS
Reuters

Nairobi: Lelaki terpantas Afrika, Ferdinand Omanyala berkata, dia 'positif' mampu berlumba di Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, Oregon, walaupun mendapat visa ke Amerika Syarikat (AS) kurang 24 jam sebelum acara 100 meter.

Omanyala yang berada dalam senarai permulaan untuk acara 100m, sebelum ini mengumumkan tidak dapat bertanding kerana masalah kelewatan visa.

Acara saringan 100m akan bermula pada 9 pagi Jumaat (waktu tempatan).

"Akan menaiki penerbangan seterusnya ke Oregon," kata Omanyala, yang berlepas dari Nairobi, menerusi Twitter.

"Saya positif akan dapat bertanding."

Jurucakap Omanyala memberitahu Reuters, pelari pecut Kenya itu mendapat visa hari ini dan kelewatannya dipercayai berpunca daripada protokol akibat Covid-19.

"Cabaran mengenai visa dihadapi rakyat Kenya dan ramai orang setiap hari dan saya tidak terkecuali," kata Omanyala.

Omanyala mencatatkan rekod 100m Afrika dengan masa 9.77 saat di acara Kip Keino Klasik di Nairobi pada September 2021.

Pelari berusia 26 tahun memenangi gelaran 100m Afrika, bulan lalu dan muncul pelari pertama Kenya mara ke separuh akhir acara 100m Olimpik di Tokyo 2020, tahun lalu.

Dia dijangka mengambil bahagian di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 9:13 PM