PASUKAN berbasikal Sarawak meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2022 di Nilai, Ahad lalu. FOTO Ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak
PASUKAN berbasikal Sarawak meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2022 di Nilai, Ahad lalu. FOTO Ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pasukan berbasikal Sarawak terus mengukuhkan keyakinan menjelang temasya Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) di Kuala Lumpur, September ini apabila berjaya meraih podium pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2022 di litar Velodrom Nasional, Nilai, Ahad lalu.

Kejayaan itu diraih menerusi pelumba Mohd Faris Mohd Nashari yang meraih pingat emas manakala rakan sepasukan, Yohannes Larenza Meahian, meraih pingat perak dalam kategori Lelaki Elit.

Pelumba muda, Haziq Fathuddin Bashir pula berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori Lelaki 13-14 tahun.

Pengurus pasukan berbasikal Sarawak, Irawan Sudarsono berkata, pencapaian itu cukup membanggakan khsususnya apabila Mohd Faris meraih kemenangan kedua peringkat kebangsaan tahun ini selepas dia muncul juara acara 'downhill' pada Kejohanan Berbasikal Bukit Kebangsaan, Mac lalu.

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil kerja keras pasukan terutamanya pelumba yang memanfaatkan setiap peluang untuk mengecapi kejayaan.

"Mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk mara ke final dan akhirnya mereka berjaya membuktikan kemampuan kepada seluruh rakyat Sarawak.

"Kakitangan kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Aim Fauzi dan jurulatih Arianna serta pihak pengurusan amat gembira dan bangga dengan keputusan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Irawan berkata, mereka memang mensasarkan podium dalam kategori lelaki elit pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia itu dan kejayaan meraih gelaran juara yang membolehkan pelumba Sarawak disarungkan jersi Malaysia adalah satu bonus.

Sarawak menghantar seramai 11 pelumba untuk menyertai kejohanan itu dengan Mohd Faris dan Yohannes membawa cabaran dalam kategori utama.

Pelumba muda lain ialah Mohammad Khaidir Idzham Abdul Haqq bagi kategori Lelaki 15-16), Haziq Fathuddin Bashir ( Lelaki 13-14), Muhd Amirul Amar Zahdur Rahman (Lelaki 13-14), Muhd Luthfil Hasief Freddie (Lelaki 11-12), Ahmed 'Atho'Illah Muhd Afif (Lelaki 11-12) dan Danial Rayyan Abdullah Zaiwisman (Lelaki 11-12), Muhd Ashman Shah Muhd Afif (Lelaki 9-10), Ahmed Ali Anees Muhd Afif serta Ahmad Zharif Ahza Ahmad Jumry (Lelaki 7-8).

Mengulas pencapaian Haziq Fathuddin, Irawan berkata, pelumba muda itu beraksi dengan cemerlang dan peningkatan prestasinya amat ketara selepas dia berlatih bersama pasukan elit Sarawak sejak lebih setahun lalu di Semenanjung.

"Haziq sudah pasti bintang yang sedang meningkat naik dari Sarawak dan jika meneruskan latihan pembangunan, dia memiliki peluang untuk menjadi antara pelumba BMX terbaik di negara ini.

"Prestasi pasukan pada kejohanan ini memberangsangkan dan menambah keyakinan kepada atlet kerana temasya SUKMA semakin hampir dan pasukan mahu tampil dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 5:44 PM