AMER Akbar Anuar dinobatkan mengungguli kategori lelaki elit pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
AMER Akbar Anuar dinobatkan mengungguli kategori lelaki elit pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Nilai: Pelumba Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar berjaya mengubat kekecewaan tahun lalu apabila dinobatkan Juara Kategori Lelaki Elit, Kejohanan BMX Kebangsaan 2023, hari ini, sekali gus melayakkannya mengumpul mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik.

Anak muda kelahiran Dungun itu berjaya ke pusingan akhir sebelum mengalahkan rakan sepasukan, Saniy Syahmi Mohd Safiee serta juara tahun lalu, Mohamad Faris Mohd Nashari.

Dia ketika ditemui berkata, saingan pada kali ini agak sengit terutama daripada rakan sepasukan sendiri yang juga pelumba basikal lebuhraya Saniy Syahmi.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini memandangkan ia kali pertama saya mendapat johan bagi kategori Lelaki Elit. Pada tahun lalu saya terjatuh di selekoh kedua selepas berlanggar sesama sendiri dengan Saniy.

"Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya pada tahun lalu. Ia juga sebagai persediaan dan dorongan saya untuk untuk kejohanan dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos depan," katanya.

Seramai 280 peserta daripada 33 pasukan negeri dan kelab termasuk pasukan jemputan dari Singapura dan India yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Arena BMX Nasional, di sini.

Juara bertahan bagi kategori Lelaki Master A (30-39), Muhamad Hafiz Ahmad Temizi, 38, berkata, dia bersyukur kerana dapat mempertahankan Jersi Kebangsaan yang dimenanginya tahun lalu.

"Walaupun dengan umur yang agak bagi kategori ini, saya bersyukur kerana dapat mempertahankan kejuaraan pada kali ini. Saya akan menyertai kejohanan ini dalam kategori sama untuk kali terakhir pada tahun hadapan dan berharap akan mengekalkan jersi dimenangi.

Sementara itu, Pengarah Teknikal kejohanan Ronizam Ismail berkata, perlumbaan anjuran Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu mendapat penyertaan paling ramai sejak ia diadakan.

"Sebanyak 25 kategori dipertandingkan dengan tiga daripadanya melayakkan pemenangnya untuk mendapat mata ke Sukan Olimpik iaitu Lelaki Junior, Wanita Elit dan Lelaki Elit.

"Kejohanan ini adalah satu platform yang patut diambil peluang oleh mana-mana pelumba BMX kerana ia lebih mudah untuk mengumpul mata kerana hanya perlu bersaing dengan pelumba tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 5:01 PM