Mohamad Faris memenangi pingat emas diapit dua pelumba Terengganu yang meraih tempat kedua dan ketiga pada acara 'downhill' Cabaran Hanelang di Terengganu. FOTO Ihsan SCA
Mohamad Faris memenangi pingat emas diapit dua pelumba Terengganu yang meraih tempat kedua dan ketiga pada acara 'downhill' Cabaran Hanelang di Terengganu. FOTO Ihsan SCA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pasukan berbasikal Sarawak mendapat satu lagi suntikan semangat menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) apabila meraih pingat emas pada Cabaran Hanelang 2022.

Pingat emas itu diraih Mohamad Faris Mohd Nashari menerusi acara 'downhill' pada cabaran yang berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu, semalam.

Mohamad Faris mencatat kepantasan 3 minit 27 saat mengatasi dua pelumba tuan rumah yang meraih pingat perak dan gangsa.

Mohamad Faris mempamer aksi bertenaga untuk meraih pingat emas pada acara 'downhill' Cabaran Hanelang di Terengganu. FOTO Ihsan SCA
Mohamad Faris mempamer aksi bertenaga untuk meraih pingat emas pada acara 'downhill' Cabaran Hanelang di Terengganu. FOTO Ihsan SCA

Pengurus pasukan berbasikal Sarawak, Irawan Sudarsono berkata, seorang lagi pelumba Sarawak, Tay Choon Liang, yang bertanding dalam acara Merentas Desa meraih tempat kelima.

Menurutnya, pasukan berbasikal Sarawak yang menyertai Cabaran Hanelang itu dibimbing jurulatih, Awang Adib Awang Sufian dan Rosnina Minggu.

"Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) berbangga dengan pencapaian itu yang diyakini mampu menaikkan semangat pelumba untuk mengharungi pertandingan seterusnya.

"Kami berharap pasukan mampu mengekalkan momentum kemenangan pada Kejohanan BMX Kebangsaan yang akan berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan, hujung minggu ini," katanya.

Menurutnya lagi, SCA menghargai sokongan berterusan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta beberapa penaja Pasukan Berbasikal Sarawak yang kini sedang mengikuti latihan di Selangor iaitu Team Purpose, Hutan Ration, The Fresh Company dan Kuching Cycle Hub.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 5:54 PM