PEMAIN nombor dua dunia, Daniil Medvedev (kanan) bersalam dengan pemain Croatia, Marin Cilic selepas perlawanan di pusingan keempat. FOTO REUTERS.
PEMAIN nombor dua dunia, Daniil Medvedev (kanan) bersalam dengan pemain Croatia, Marin Cilic selepas perlawanan di pusingan keempat. FOTO REUTERS.
AFP

Paris: Pemain tenis nombor dua dunia, Daniil Medvedev tersingkir dari saingan Terbuka Perancis apabila tewas kepada Marin Cilic di pusingan 16 terbaik, hari ini.

Cilic yang juga bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) menang 6-2, 6-3, 6-2 dalam perlawanan selama 1 jam 45 minit di Court Philippe Chatrier.

Medvedev mengikut jejak pemain keempat dunia, Stefanos Tsitsipas yang tersingkir apabila naib juara 2021 itu tewas di tangan pemain muda Denmark, Holger Rune.

Cilic yang berada di ranking ke-23 dunia akan berdepan pemain Rusia, Andrey Rublev untuk penampilan kali ketiga di suku akhir di Roland Garros.

Medvedev yang juga juara bertahan Terbuka AS, menikmati pencapaian baik di Paris, 12 bulan lalu apabila mara ke suku akhir.

Dia tidak melepaskan set pada kejohanan kali ini, tetapi langsung gagal menyaingi Cilic, 33, pada perlawanan hari ini, walaupun memiliki rekod kemenangan 3-0 ke atas lawannya itu.

"Ia adalah perlawanan yang sungguh menakjubkan sejak mata pertama sehingga penamat," kata Cilic.

"Saya menikmati suasana ini, bermain pada sesi malam dengan permainan yang bagus dan salah satu aksi terbaik dalam karier," katanya.

Sementara itu, Rune muncul pemain lelaki Denmark pertama mara ke suku akhir Grand Slam dalam tempoh 55 tahun dan akan berdepan pemain Norway, Carsten Ruud di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 11:18 AM