SHAH melakukan persiapan untuk ke ACC. FOTO Bernama
SHAH melakukan persiapan untuk ke ACC. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Selepas meraih emas dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velordom Nasional Nilai semalam, pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom mengakui banyak perkara dipelajari terutama dari segi mempelbagaikan corak kayuhan.

Menurut Shah Firdaus, setakat ini dia berpuas hati dengan pencapaiannya di Nilai tetapi menjelaskan masih banyak lagi 'kerja rumah' yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasinya.

"Kejohanan ini saya jadikan sebagai medan 'pemanas badan' sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India pada 18 hingga 22 Jun dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 (28 Julai hingga 8 Ogos)," katanya.

Ujar pelumba kelahiran Johor itu, setakat ini persiapannya semua berjalan dengan baik dan berpuas hati dengan apa yang diraihnya buat masa sekarang.

"Kebiasaannya apabila saya berlumba di Malaysia, saya cuba beberapa taktikal baharu kerana ia adalah masa yang sesuai untuk saya melakukannya. Saya tidak banyak melakuan eksperimen di kejohanan antarabangsa.

"Sebagai contoh, dalam pusingan pertama (keirin) saya cuba kekal di depan (berbanding datang dari belakang). Adalah penting untuk menjadi versatil kerana apa jua boleh berlaku dalam perlumbaan.

"Kayuhan saya agak berbeza dengan pelumba lain, saya fikir kekuatan saya untuk melakukan pecutan dalam jarak panjang. Apa pun, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum kejohanan yang lebih besar berlangsung," katanya.

Shah Firdaus yang mewakili Johor menjadi pelumba pertama tiba di garisan penamat dalam acara keirin, mengatasi rakan sepasukan dalam skuad elit negara, Fadhil Zonis (Selangor) dan adiknya, Ridwan Sahrom (Johor) yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi yang mewakili Perlis menepati ramalan apabila meraih emas acara keirin semalam.

Dia mengatasi Nurul Aliana Syafika Azizan dari Pulau Pinang yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala pelumba Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:06 PM