SHAH Firdaus akan menjalani latihan di Australia. FOTO AZRUL EDHAM
SHAH Firdaus akan menjalani latihan di Australia. FOTO AZRUL EDHAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Australia akan menjadi destinasi pasukan berbasikal trek negara untuk aksi pemanas badan serta mengharungi kempen kelayakan Olimpik menjelang temasya sukan terbesar dunia itu yang akan bermula hujung Julai tahun depan di Paris.

Pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom berkata, ketika ini, pihak pengurusan sedang memilih tempat latihan yang sesuai dengan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley mahukan suasana latihan berbeza.

"Tahun depan adalah sangat penting kerana akan mengharungi kempen kelayakan terakhir Olimpik sebelum beraksi di Olimpik Paris.

"Setakat ini kami masih berlatih di Malaysia dan mungkin tahun depan akan berlatih di sana (Australia). Kami masih mencari tempat yang sesuai untuk latihan kerana jurulatih mahukan kelainan di mana dia mahukan suasana berlatih di luar.

"Sekarang ini masih lagi mencari tempat yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran. Banyak tempat yang bagus tapi ada macam-macam suasana kalau berlatih di luar, jadi masih buat pemilihan," katanya.

Jelas Shah, jika mengikut perkiraan ranking semasa, dia serta jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah pun layak beraksi di Paris dalam acara pecut dan keirin.

"Cuma apabila kempen kelayakan masih lagi berlangsung, kami tidak boleh sahkan sudah layak (ke Olimpik Paris)," katanya.

Pada temasya Sukan Asia Hangzhou September lalu, impian pelumba negara berusia 28 tahun itu untuk meraih emas tidak kesampaian apabila memenangi dua pingat gangsa masing-masing dalam acara pecut dan keirin.

Kejayaannya itu menyaksikannya memperoleh Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM40,000.

Olimpik Paris bakal menjadi penampilan kedua Shah di temasya sukan terbesar dunia itu selepas tampil kali pertama di Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 3:47 PM