SKUAD ragbi negara yang akan beraksi di Kejohanan Ragbi Asia. FOTO Malaysia Rugby Union
SKUAD ragbi negara yang akan beraksi di Kejohanan Ragbi Asia. FOTO Malaysia Rugby Union
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas menunggu hampir dua tahun untuk menyertai kejohanan kompetitif, akhirnya seramai 24 pemain ragbi Bunga Raya 15 sebelah (15s) lelaki bakal menggalas cabaran negara di Kejohanan Ragbi Asia di Incheon, Korea Selatan bermula dari 4 hingga 9 Julai ini.

Ia kejohanan penting buat skuad negara dalam usaha melayakkan diri ke Piala Dunia Ragbi 2023.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam satu kenyataan memaklumkan skuad negara akan membuka tirai kejohanan bertemu Korea Selatan pada 4 Jun di Stadium Namdung, Incheon.

"Bagi edisi kali ini, badan induk Ragbi Asia menggunakan format baharu yang mana perlawanan pembukaan akan menemukan pasukan ragbi kebangsaan menentang Korea Selatan dan pemenang akan menjadi tuan rumah bagi pertemuan menentang Hong Kong pada 8 atau 9 Julai.

"Seterusnya pasukan yang menang perlawanan pada 8 atau 9 Julai akan layak ke perlawanan repecharge bertemu Tonga pada 23 Julai 2022 di Australia untuk penentuan tempat ke Piala Dunia Ragbi 2023," katanya.

KRM menaruh harapan tinggi buat skuad Bunga Raya untuk memberi saingan sengit selepas hampir dua tahun tiada perlawanan kompetitif kerana Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pasukan yang dikendali Rodney So'oialo dan dibantu Mohd Farid Syazwan Abu Bakar, Samuel Rupert Firth Jackson dan Redwan Mohamed Kastari ini dijadual berlepas ke Incheon esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:35 PM