AHMAD Faizal beramah mesra bersama pemain Malaysia Jepun All Star ketika hadir bagi menyaksikan Perlawanan Bola Sepak Amal Malaysia Jepun All Star menentang Harimau Pekak Malaysia, hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Faizal beramah mesra bersama pemain Malaysia Jepun All Star ketika hadir bagi menyaksikan Perlawanan Bola Sepak Amal Malaysia Jepun All Star menentang Harimau Pekak Malaysia, hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan persatuan sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak perlu bimbang mengenai peruntukan untuk tiga temasya besar yang bakal berlangsung tahun depan.

Menurut beliau, memang tidak disebut mengenai perbelanjaan program bagi tiga temasya berkenaan di perbentangan Bajet 2022 kerana dalam keadaan sekarang kerajaan memberi fokus kepada usaha yang jauh lebih penting.

"Kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi rakyat (lebih penting), namun dalam kita hendak menghadapi tiga temasya besar tahun depan Sukan Sea, Komanwel dan Asia, kita bersedia untuk memastikan semua atlet berprestasi tinggi mendapat latihan, persediaan, kelengkapan dan sebagainya yang mencukupi," katanya ketika ditemui media di perlawanan Bola Sepak Amal Malaysia Japan All Star anjuran Yakult Malaysia hari ini.

Ujarnya, perkara yang dibangkitkan itu tidak perlu dibimbangkan kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tetap meneruskan segala aktiviti yang sudah dirancang tahun depan.

Sebelum itu Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima keluhan daripada persatuan sukan mengenai kebimbangan tiada peruntukan untuk menghadapi tiga temasya besar tahun depan.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, persatuan sukan meluahkan kekecewaan dan risau jika peruntukan dipotong ataupun langsung tiada dalam mempersiapkan atlet menjelang Sukan Sea, Komanwel dan Asia tahun depan.

"Ketika negara lain sedang fokus (persiapan) persatuan masih lagi kabur mengenai peruntukan, sedangkan sebelum ini kita mempunyai Program Podium yang diperkenalkan pada 2015 dan memberi impak sebelum ia dihentikan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Ke-199.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 8:40 PM