SIMONE (dua dari kiri) antara atlet gimnastik AS yang memberikan keterangan kes skandal serangan seksual membabitkan Nassar sebelum ini. FOTO Agensi
SIMONE (dua dari kiri) antara atlet gimnastik AS yang memberikan keterangan kes skandal serangan seksual membabitkan Nassar sebelum ini. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Mangsa serangan seksual yang dilakukan bekas doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat, Larry Nassar akan menerima pampasan sebanyak AS$380 juta (RM1.6 bilion).

Keputusan itu disebut oleh peguam selepas mencapai kata sepakat dengan Persekutuan Gimnastik AS (USAG), Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS serta syarikat insurans masing-masing.

Pampasan itu adalah yang terbesar pernah direkodkan kepada mangsa serangan seksual selepas lima tahun dibicarakan.

Nassar, 58, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018 atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap atlet ketika bekerja sebagai doktor perubatan sukan di Gimnastik Amerika Syarikat (USAG) dan Universiti Negeri Michigan (MSU).

Ratusan wanita termasuk pemenang emas Olimpik seperti Simone Biles, Aly Raisman dan McKayla Maroney, mendakwa Nassar melakukan serangan secara seksual sepanjang kerjayanya lebih dua dekad.

Pampasan semalam, termasuk tuntutan daripada Simone, Aly dan McKayla, disahkan semasa pendengaran di mahkamah di Indianapolis.

Perjanjian itu bermakna kira-kira AS$880 juta (RM3.7 bilion) pampasan kini dicapai berikutan penyelesaian awal A$500 juta (RM2,3 bilion) daripada MSU pada 2018.

"Kami menang atas satu sebab mudah, keberanian dan ketabahan mereka yang terselamat. Supaya tidak ada lagi kanak-kanak akan dipaksa untuk berdepan penderaan fizikal, emosi atau seksual dalam mengejar impian mereka." kata John Manly, yang mewakili lebih 180 wanita yang didera oleh Nassar, dalam satu kenyataan yang mengesahkan butiran perjanjian itu.

Rachael Denhollander, wanita pertama yang mendedahkan dakwaan terhadap Nassar pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:53 PM