ASTANA Qazaqstan memperkenalkan pelumba mereka yang akan beraksi dalam saingan musim depan. FOTO Agensi
ASTANA Qazaqstan memperkenalkan pelumba mereka yang akan beraksi dalam saingan musim depan. FOTO Agensi
AFP

Paris: Pasukan berbasikal Astana memperkenalkan barisan pelumba bagi musim depan dan mereka akan dikenali sebagai Astana Qazaqstan.

Sebanyak 15 perubahan dilakukan untuk saingan musim depan termasuk dengan membariskan dua jaguh Itali, Gianni Moscon dan Vincenzo Nibali selain mempertaruhkan pendaki dari Colombia, Miguel Angel Lopez.

Ia menandakan permulaan baharu buat Moscon yang beraksi bersama Ineos sebelum ini.

Dengan semangat dan kekuatan yang ada pada Moscon dia berjaya membantu Egan Bernal muncul juara di Giro d'Italia 2021 dan hampir menjadi juara di Paris-Roubaix.

Pakar pendakian, Lopez berjaya muncul juara peringkat dalam ketiga-tiga perlumbaan Grand Tours dan menyertai Astana selepas semusim bersama Movistar.

Sementara itu, Nibali sudah tidak asing lagi bersama Astana apabila pernah muncul juara Tour de France 2014 dan berjaya merangkul kejuaraan dalam ketiga-tiga perlumbaan Grand Tours.

"Kami berjaya menghimpunkan pelumba yang kuat dan bercita-cita tinggi," kata prinsipal pasukan, Alexandre Vinokourov.

Pasukan itu berkata, Qazaqstan adalah cara yang betul untuk menulis nama negara mereka dalam bahasa Inggeris dan bukannya Kazakhstan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 11:26 AM