PASUKAN Tenpin Boling negara berlepas ke Dubai Selasa lalu untuk menyertai Kejohanan Dunia. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
PASUKAN Tenpin Boling negara berlepas ke Dubai Selasa lalu untuk menyertai Kejohanan Dunia. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengharapkan kesemua barisan pemainnya sudah bersedia untuk mengibarkan cabaran di Kejohanan Boling Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Sabtu ini.

Sasaran tinggi diletakkan kepada skuad lelaki negara di kejohanan empat tahun sekali itu akan diketuai oleh pemenang pingat emas Kejohanan Dunia individu Muhammad Rafiq Ismail untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

Begitupun Presiden MTBC, Datuk Dr P S Nathan sedar kekangan yang dihadapi barisan pemain negara terutama apabila tiada langsung kejohanan yang disertai mereka dalam tempoh dua tahun yang mana kejohanan dunia itu adalah yang pertama.

Beliau berkata, justeru beliau mengharapkan kesemua pemain dapat memberikan yang terbaik dan yakin dengan sentuhan Holloway Cheah yang cukup berpengalaman dalam mengendalikan skuad negara.

"Saya tidak mahu memberi mereka tekanan. Saya tahu kesemua pemain akan berikan yang terbaik.

"Tapi saya harap akan ada pingat buat negara dari skuad lelaki. Begitupun skuad wanita negara juga diharapkan dapat melakukan kejutan.

"Ada dua pemain senior wanita negara (Esther Cheah dan Sin Li Jane) tidak akan bersama skuad kali ini tapi tak mengapa kita ada pemain yang semakin meningkat naik jadi saya rasa tiada masalah untuk mereka menyerlah," katanya.

Sementara itu Nathan menjelas, tiada isu berhubung pemilihan pemain biarpun kesemua mereka tidak dinilai daripada pertandingan kerana kekangan Covid-19.

"Pemilihan pemain di buat berdasarkan penilaian jurulatih. Mereka juga dinilai ketika sesi latihan.

"Holloway pula bukan calang-calang jurulatih. Beliau tahu pemain yang layak. Jadi tidak ada kontroversi berhubung pemilihan pemain kerana semua pemain tahu kedudukan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:36 PM