PEMAIN bowling negara, Muhd Rafiq Ismail. FOTO Danial Saad
PEMAIN bowling negara, Muhd Rafiq Ismail. FOTO Danial Saad
Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) sudah mula memikirkan cara untuk mengekalkan kualiti pemain skuad kebangsaan pada masa depan.

Ia hadir selepas Malaysia menampilkan persembahan baik dengan meraih dua emas pada Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong, pencapaian terbaik sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1954.

Rafiq Ismail, menunjukkan dirinya selaku pemain bowling kelas dunia apabila atlet berusia 21 tahun itu meraih gelaran perseorangan manakala pemain kali pertama menyertai kejohanan itu, Tun Hakim Tun Hasnul Azam menunjukkan kehadirannya pada peringkat senior dengan gelaran beregu bersama Adrian Ang.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kategori lelaki ialah pada edisi 1979 di Manila ketika skuad negara pulang dengan satu emas (trio) dan satu gangsa (Masters).

Pengurus besar MTBC, Maradona Chok, yang juga pengurus pasukan berkata, persembahan baik di Hong Kong bersesuaian dengan peranan dimainkan badan induk itu yang sudah memiliki beberapa perancangan untuk meningkatkan lagi sukan itu.

"Kejohanan Dunia sentiasa menjadi sesuatu yang sukar dan hanya mereka yang benar-benar bagus boleh berjaya.

"Pemain kita sudah menunjukkan bahawa mereka boleh menang apabila mereka percaya kepada diri sendiri dan saya amat gembira.

"Menang dua emas juga menunjukkan yang kita ada sistem kelas dunia dan ia sesuai dengan pemain bowling.

"Sebagai pemain tangan kiri, Rafiq juga menafikan ramalan sukar untuk menang kerana corak yang mencabar. Ia misi mustahil seperti didakwa ramai pemain tangan kiri, tapi Rafiq menang emas! Itulah kualiti," kata Maradona.

Mengenai perancangan masa depan skuad kebangsaan, Maradona berkata: "Kami sebenarnya sudah ada sebahagian perancangan dan satu daripadanya ia melatih pemain muda bermula sekarang. Kami perlu menyediakan mereka supaya  cepat meningkat, lelaki dan wanita.

"Kami akan memberikan peluang buat mereka bersaing sesama sendiri, lebih banyak kejohanan seperti itu. Kami juga akan mula menghantar pasukan campuran ke beberapa kejohanan pada usia muda."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 9:03 PM