FOWLER semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan selepas mendahului pusingan ketiga Piala CJ. FOTO AFP
FOWLER semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan selepas mendahului pusingan ketiga Piala CJ. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Rickie Fowler, bersedia untuk melupakan kemarau kejuaraan, selepas mencatat sembilan di bawah par 63 untuk mendahului Rory MacIlroy dengan kelebihan dua pukulan di Piala CJ di Las Vegas.

Fowler mempamerkan aksi terbaiknya selepas tiga tahun, apabila membenam sembilan birdie tanpa sebarang bogey di Summit Club.

Kejayaan terakhir Fowler ialah merangkul gelaran kelima Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) pada Terbuka Phoenix 2019.

Musim lalu dia gagal untuk melayakkan diri di playoff Piala FedEx buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun dan hadir dalam kejohanan ini dengan menduduki ranking ke-128 dunia.

"Sudah lama saya tidak mendahului saingan dalam beberapa tahun sebelum ini, jadi ia sangat menggembirakan dapat kembali ke posisi ini.

"Saya melalui tempoh yang panjang, laluan yang jauh, berdepan saat kesukaran. Tugas saya belum selesai," katanya.

McIlroy bermula dari kedudukan kesembilan pada saingan pusingan ketiga ini namun berjaya melonjak dengan melakukan lima birdie bermula dari lubang ketiga hingga ketujuh.

Dia menambah tiga lagi birdie di lubang kesembilan, 12 dan 14 sebelum menamatkan permainan dengan penuh cemerlang.

"Saya rasa di lapangan seperti ini anda harus konsisten di mana perlu bermain dengan baik dan melakukan pukulan sempurna bukan saja melakukan putt untuk memasukkan bola ke dalam lubang," kata Mcllroy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 12:40 PM