FRITZ cuba untuk beraksi cemerlang di Indian Wells. FOTO Reuters
FRITZ cuba untuk beraksi cemerlang di Indian Wells. FOTO Reuters
Reuters

Los Angeles: Peluang Taylor Fritz untuk mempertahan mahkota Indian Wells cerah berikutan ketiadaan beberapa nama besar di kejohanan berkenaan.

Tahun lalu Fritz mengatasi kesakitan di bahagian buku lali ketika perlawanan akhir untuk menumpaskan legenda Sepanyol, Rafa Nadal.

Pemain kelahiran California Selatan itu tidak perlu risau untuk bertemu Nadal sekali lagi apabila juara kejuaraan utama 22 kali berkenaan masih dalam proses pemulihan kecederaan pinggul.

Juga tidak dapat beraksi ialah pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, selepas permohonan juara lima kali kejohanan itu untuk pengecualian memasuki Amerika Syarikat (AS) tanpa vaksin Covid-19 tidak berjaya.

Pemain Serbia itu tidak beraksi di Indian Wells atau Terbuka Miami sejak meraih kejuaraan berganda pada 2019.

Ketiadaan nama besar membuka pintu kepada pemain lain yang ingin menggunakan kejohanan berprestij itu sebagai batu loncatan untuk beraksi cemerlang sepanjang musim ini.

Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz boleh mendapatkan semula ranking teratas yang ditawannya selepas memenangi Terbuka AS tahun lalu dengan syarat meraih gelaran Indian Wells dan Stefanos Tsitsipas dari Greece juga berpeluang untuk naik ke puncak buat kali pertama jika muncul juara.

Bekas pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev dari Rusia sedang bersemangat dengan memenangi tiga kejohanan berturut-turut tetapi tidak pernah sampai ke suku akhir di Indian Wells dalam lima penampilan.

Pemain veteran Andy Murray akan berusaha untuk mengekalkan momentum awal musim yang positif ketika dia memburu gelaran pertamanya di acara Masters 1000 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 10:27 AM