Atlet paralimpik Abdul Latif (bekerusi roda) dan Liek Hou (3, kanan) ketika diraikan kepulangan kontinjen Malaysia di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Atlet paralimpik Abdul Latif (bekerusi roda) dan Liek Hou (3, kanan) ketika diraikan kepulangan kontinjen Malaysia di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya penghargaan kepada kejayaan kontinjen Paralimpik negara di Tokyo sahaja tidak memadai kerana masih ada ruang untuk diperbaiki dan boleh dilakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakan golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Menurut beliau sebagai sebuah keluarga, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu golongan OKU dan usaha untuk membangunkan atlet Paralimpik tidak hanya terletak kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sahaja.

"Pendekatan secara holistik segenap lapisan masyarakat bermula dengan usaha sama serta kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri," katanya ketika menyambut kepulangan terakhir kontinjen paralimpik negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Ujar beliau, sudah tiba masanya untuk ada pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008, bagi mengambil kira dan merapatkan jurang sedia ada berdasarkan peredaran pesat yang dikecapi negara ketika ini, demi memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan berkenaan terutama ketika semua terpaksa berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Atlet paralimpik Abdul Latif (berkerusi roda) dan Liek Hou (tiga kanan) diraikan di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Atlet paralimpik Abdul Latif (berkerusi roda) dan Liek Hou (tiga kanan) diraikan di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Buat permulaan, saya mohon kepada semua pihak, sama ada agensi kerajaan atau swasta yang menyediakan perkhidmatan penting seperti bantuan kebajikan, perbankan, makanan dan peruncitan untuk memastikan perkhidmatan mereka, terutamanya diatas talian benar-benar dapat diakses secara menyeluruh dengan menitik beratkan kemudahan digital bagi golongan kurang upaya untuk menjalani urusan harian.

"Begitu juga dengan peluang pekerjaan, di mana dasar 1 peratus pengambilan pekerja golongan orang kurang upaya di sektor awam dapat direalisasi sepenuhnya.

"Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya, dan saya yakin sektor swasta akan mencontohinya juga apabila sektor awam dapat memenuhi dasar pengambilan pekerjaan dalam kalangan OKU. Inilah masanya untuk sektor swasta memainkan peranan dalam merealisasikan rasa cinta kepada negara," kata Ahmad Faizal.

Kontinjen negara berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang sejak menyertai temasya berkenaan pada 1972 dengan berjaya membawa pulang tiga emas dan dua perak.

Tiga emas berkenaan disumbangkan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para, Cheah Liek Hou dan atlet lompat jauh, Ahmad Latif Romly.

Perak pula diraih Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) sekali gus menepati sasaran yang diletakkan iaitu tiga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:37 PM