Aksi Ziyad Zolkefli ketika mengambil bahagian di Paralimpik Tokyo. FOTO Agensi
Aksi Ziyad Zolkefli ketika mengambil bahagian di Paralimpik Tokyo. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan sudah menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung insiden membabitkan jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ketika temasya Paralimpik Tokyo.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya menerima rakaman daripada Jawatankuasa Penganjur Paralimpik Tokyo 2020 pada 12 September lalu dan akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MPM.

Megat turut memaklumkan bahawa, MPM turut menerima maklum balas rasmi daripada Olahraga Para Dunia (WPA) berhubung insiden itu.

"Semua maklum balas itu akan diserahkan kepada jawatankuasa siasatan dan kita akan meneliti semua maklumat dan akan putuskan untuk tindakan selanjutnya sama ada membawa perkara ini ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) atau tidak.

"Kita akan lihat dan bincang apa yang boleh dilakukannya nanti dan baru akan putuskan keputusan yang akan dibuat," katanya.

Megat bagaimanapun enggan mendedahkan isi kandungan maklumat yang diterima dan satu kenyataan rasmi akan dibuat selepas mesyuarat berlangsung hujung bulan ini," katanya.

Terdahulu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat punca insiden yang menimpa Ziyad di Tokyo.

Jawatankuasa berkenaan akan berada di bawah seliaan MSN yang dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah.

Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan adalah bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Kontinjen paralimpik negara terlepas emas selepas penyertaan Ziyad dibatalkan.

Ziyad didakwa melakukan kesalahan teknikal susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan dengan penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:12 PM