AKSI Ziyad di Paralimpik Tokyo. FOTO AFP
AKSI Ziyad di Paralimpik Tokyo. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Perkara itu dirumuskan Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

Menurut beliau, ia berdasarkan daripada sesi temubual dan dokumen-dokumen yang diperoleh oleh pihak jawatankuasa berkenaan.

"Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan 'Did Not Start' (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga.

"Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi," kata Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu berkenaan dan mahu semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

"KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

"Meskipun sedimikian, lontaran yang dibuat oleh Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai," katanya.

Selain Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jawtankuasa Siasatan Dalaman itu turut dianggotai dua lagi panel iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Antara individu dipanggil membantu siasatan jawatankuasa berkenaan adalah Ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Ziyad gagal pertahankan emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Bagaimanapun, Ziyad dan Faizol sebaik tiba di tanah air ketika menceritkan semula detik 'hitam' yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu menegaskan yang mereka mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti yang ditetapkan dalam peraturan.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:08 PM