AZIZULHASNI bersama pingat perak dimenanginya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZIZULHASNI bersama pingat perak dimenanginya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan bagaimana dia mencari ketenangan dalam menghadapi tekanan tinggi sebelum dan semasa pertandingan besar termasuk temasya Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Bagi pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo itu, dia seboleh-bolehnya cuba untuk khatam Al-Quran dalam usaha kekal tenang menghadapi situasi yang terlalu mencabar berdepan kejohanan peringkat antarabangsa.

"Bagi mereka yang pernah berkecimpung dalam arena sukan mereka pasti amat faham. Tidak kiralah kecil atau besar sesuatu kejohanan itu, tapi apabila kita menggalas satu harapan besar, ia umpama satu bebanan di atas kepala serta seluruh badan yang kita bawa ke mana saja.

"Ada yang tanya apa rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi yang melampau ini? Jawapan saya adalah Al-Quran," tulis Azizul, 33, dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Menurutnya, sejak kem latihan di Nilai, dia sudah memulakan misi khatam Al-Quran sebelum ke Tokyo. "Tapi maklumlah, latihan amat teruk waktu itu ditambah dengan kesibukan pelbagai aktiviti bersama pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan. Cuma selepas tamat kem latihan dan penerbangan ke Tokyo memberi saya lebih banyak masa untuk menumpukan kepada bacaan.

"Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Hampir separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan. Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi saya memberikan kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian."

Azizul, yang meraih pingat gangsa acara keirin pada temasya Rio 2016 menyatakan boleh kata setiap waktu yang terluang ketika berada di Perkampungan Sukan, dia memang menghabiskannya untuk membaca Al-Quran.

"Bila kita membaca Al-Quran ini bukannya mudah kerana banyak dugaannya. Ada saja bisikan yang cuba mematahkan semangat kita. Sebab itu bila kita baca Al-Quran pada bulan Ramadan amat berbeza berbanding bulan biasa. Apabila setiap kali ada perasaan 'berat', saya akan lawan dan lawan dan lawan.

"Waktu saya baca Al-Quran, seolah-olah saya berada di dunia vakum. Bukan vakum yang korang sedut debu-debu karpet dekat rumah korang tu, tapi dunia vakum yang dikenali sebagai hampagas dalam hukum fizik. Jauh pulak saya menyimpang, maaf. Tapi setiap kali saya membaca, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya seolah-olah berada di satu dimensi," tulisnya.

Azizul, yang bertanding kali keempat pada temasya Olimpik di Tokyo, kecewa dalam misi memburu pingat emas sulung kontinjen negara apabila tewas di tangan pelumba Britain, Jason Kenny pada perlumbaan akhir keirin manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen meraih pingat gangsa. Dia menduduki tangga ke-10 di Beijing 2008 dan keenam di London 2012.

Selain satu perak menerusi Azizul, Malaysia mengutip satu pingat gangsa menerusi beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 1:07 PM