Athiah bersama anaknya meraikan kejayaan Azizul di depan televisyen di kediaman mereka dekat Melbourne.
Athiah bersama anaknya meraikan kejayaan Azizul di depan televisyen di kediaman mereka dekat Melbourne.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Memang jelas kekecewaan kelihatan di wajah pelumba negara Datuk Azizulhasni Awang apabila impiannya untuk menghadiahkan emas pertama negara di pentas Olimpik tidak kesampaian.

Namun sebagai isteri, Datin Athiah Ilyana Abd Samat tahu, suaminya itu sudah buat yang terbaik dan mereka perlu redha dengan ketentuan Allah.

Mengakui sedih tapi pada masa yang sama Athiah atau lebih mesra di sapa dengan panggilan Tya itu tetap bersyukur dengan rezeki yang Allah tetapnya kepada suaminya itu.

"Memang sudah tertulis kita dapat perak hari ini dan saya masih tetap berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh suami saya hari ini.

"Saya nampak, Azizul kecewa menggelengkan kepala bila dia tengok Jason Kenny (pemenang emas keirin) di depan dan saya tahu dia sedih dengan keputusan itu tapi saya yakin dia akan redha dan terima apa yang sudah ditakdirkan Allah untuknya," katanya.

Pada perlumbaan akhir acara keirin itu, pelumba Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Dalam perkembangan yang sama Tya turut berkongsi berita gembira bahawa Azizul bakal menimang cahaya mata ketiga selepas dikurniakan dua cahaya mata perempuan Amna Maryam dan Amna Khadeeja.

Namun berita itu hanya dikongsikan selepas Azizul menamatkan perlumbaan akhir keirin kerana khuatir perkara itu akan mengganggu fokus suaminya.

"Saya dapat tahu saya hamil selepas Azizul berlepas untuk ke Tokyo. Saya masih di fasa awal kehamilan dan selalunya alahan saya teruk. Itu sebab saya tidak memaklumkan berita kehamilan saya kepada Azizul lebih awal. Bimbang dia risau sebab tak dapat berada bersama saya di sini.

"Biarpun tak pasti apa perancangan selepas ini kerana pandemik ini, saya harap Azizul dapat selesaikan semua perkara di Malaysia, dapat berjumpa dengan keluarganya terlebih dahulu.

"Saya di Melbourne ini jangan bimbang, ada isteri John (Beasley) boleh membantu," katanya.

Pingat perak yang diraih Azizul adalah pingat kedua di temasya Olimpik selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik menyumbangkan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 2:05 PM