NUR Dhabitah berjaya menempah tempat ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
NUR Dhabitah berjaya menempah tempat ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Aksi konsisten dipamerkan penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri membolehkannya menempah slot ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita, hari ini.

Acara berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu menyaksikan penerjun berusia 22 tahun itu berjaya mengumpul 291.60 mata untuk berada pada kedudukan ke-10 daripada 27 atlet bertanding, dengan 18 atlet terbaik mara ke pusingan separuh akhir.

Dhabitah yang melakukan lima terjunan berjaya mengekalkan rentak konsisten dengan kurang melakukan kesilapan untuk membolehkannya berada di kedudukan itu.

Bagaimanapun, seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee gagal mengiringi Dhabitah apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-20.

Wendy yang sebelum ini berjaya melangkah ke final acara 3m papan anjal individu wanita Piala Dunia FINA 2021 gagal mengulangi pencapaian terbaik itu apabila sekadar mengutip 251.95 mata.

Sebagai rekod, Wendy berjaya mara ke final acara terbabit pada temasya Olimpik Rio 2016, lima tahun lalu dan meraih kedudukan ke-10.

Pemenang pingat emas di Rio 2016, Shi Ting Mao dari China turut mengesahkan tiket ke separuh akhir apabila mengungguli pusingan awal dengan 350.45 mata.

China menamatkan pusingan awal pada kedudukan satu-dua selepas Wang Han menduduki tangga kedua dengan 347.25 mata.

Dhabitah akan berentap di separuh akhir esok dan memburu kedudukan 12 terbaik untuk mara ke final acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:42 PM