PEMAIN sofbol Mexico dikatakan berbuat demikian selepas terlalu banyak barangan hendak di bawa pulang. FOTO Agensi
PEMAIN sofbol Mexico dikatakan berbuat demikian selepas terlalu banyak barangan hendak di bawa pulang. FOTO Agensi
AFP

Mexico City: Pemain sofbol wanita Mexico berdepan hukuman selepas membuang pakaian rasmi di dalam tong sampah di Perkampungan Rasmi Atlet di Olimpik Tokyo.

"Kami sangat berang dengan pemain dan siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk individu yang bertanggungjawab di atas perbuatan ini serta mengenakan hukuman setimpal," kata Persekutuan Sofbol Mexico dalam satu kenyataan.

Kekecohan itu meletus selepas petinju Mexico, Esmeralda Falcon dan Brianda Tamara mengadu di media sosial bahawa pemain sofbol meninggalkan pakaian seragam dan peralatan selepas tamat di tempat keempat.

"Mungkin bagi sebilangan atlet yang lain, pakaian seragam ini tidak bermaksud apa-apa, tetapi bagi kebanyakan yang lain, ia seperti bekerja, cinta dan semangat untuk negara.

"Sayang sekali pemain sofbol Mexico tidak melihat perkara ini seperti itu," kata Falcon di Twitter dengan gambar pakaian seragam yang ditinggalkan.

Tamara mengatakan bahawa pakaian seragam itu 'mewakili usaha, pengorbanan dan air mata bertahun-tahun'.

"Semua atlet Mexico ingin memakainya dengan bermaruah, dan hari ini sayangnya pasukan sofbol Mexico meninggalkan semuanya di tong sampah Olimpik," katanya.

Sebilangan pengguna media sosial menyatakan bahawa sesetengah pemain adalah kelahiran Amerika Syrikat (AS) dan disebabkan itu tidak mempunyai perasaan bangga terhadap negara diwakili.

Sebelumnya Presiden Persekutuan Sofbol Mexico, Rolando Guerrero mengatakan para pemain meninggalkan pakaian seragam mereka kerana terlalu banyak barang untuk perjalanan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 12:23 PM