Bintang tenis Britain, Andy Murray. FOTO AFP
Bintang tenis Britain, Andy Murray. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Andy Murray berkata dia berada dalam keadaan bagus ketika melakukan persediaan mempertahankan kejuaraan tenis Olimpik di Tokyo, tetapi mengakui kebimbangan seluruh pasukannya mengenai Covid-19.

Atlet Britain itu memenangi pingat emas berturut-turut di London 2012 dan Rio 2016 tetapi terpaksa menjalani pembedahan pinggul dua kali dan dia kini berada di ranking 104 dunia.

Murray akan memulakan saingan berdepan pilihan kesembilan dari Kanada, Felix Auger-Aliassime.

"Saya sudah bersedia sebaik mungkin. Saya berdepan undian sukar dalam acara perseorangan dan beregu tetapi saya fikir tetap ada peluang," katanya.

Tambah Murray: "Jika saya mampu melepasi pusingan awal atau kedua, saya akan rasa lebih selesa. Saya juga ada pengalaman beraksi di Olimpik, yang mampu menjadi kelebihan buat saya." katanya kepada BBC Sports.

Murray juga memaklumkan terdapat kebimbangan antara pasukan Britain menjelang saingan itu kerana pandemik Covid-19.

Pemain tenis Britain yang berada di ranking tertinggi seperti Dan Evans dan Johanna Konta kedua-duanya terpaksa menarik diri dari Olimpik selepas diuji positif Covid-19, sementara Amber Hill menarik diri dalam acara menembak selepas disahkan positif.

"Ia berlaku kepada saya sebelum Terbuka Australia dan membuatkan saya kelu tak terkata," menurut Murray yang tidak dapat melakukan perjalanan ke Australia pada Januari selepas diuji positif Covid-19.

"Saya bersyukur kerana dapat bertanding dalam satu lagi Grand Slam beberapa bulan kemudian, tetapi jika anda sudah melakukan persediaan untuk sesuatu dalam tempoh lima tahun dan perkara seperti ini berlaku kepada anda sudah pasti ia cukup kejam."

"Jadi terdapat kebimbangan, tetapi daripada pengamatan saya semua mengikuti protokol ketat yang ditetapkan jadi diharap tidak berlaku terlalu banyak isu."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:26 AM