Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak boleh menerima jika pembatalan Sukan Sea dan Sukan Para Asean Hanoi yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini disebabkan tidak cukup masa atau kekurangan dana.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata, berita berkaitan pembatalan Sukan Sea dan Sukan Para Asean Hanoi ketika ini bertiup kencang hingga menjejaskan moral atlet yang bertungkus lumus melakukan persiapan.

Beliau berkata, tuan rumah tidak sepatutnya menggunakan alasan kesuntukan masa hingga mendorong kejohanan dwi tahunan itu terpaksa dibatalkan atau ditunda.

"Aspek kewangan juga bukanlah isu utama kerana komitmen diberikan sejak awal lagi oleh tuan rumah, lebih-lebih lagi pemilihan tuan rumah dibuat berdasarkan sistem penggiliran yang dipersetujui negara di Asia Tenggara.

"Setiap negara sudah mengetahui sejak awal lagi giliran mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea dan Sukan Para Asean sekali gus tuan rumah mempunyai tempoh untuk membuat persiapan atau menarik diri.

"Isu penangguhan ini perlu ditangani dengan baik walaupun semua sedia maklum bahawa mengenai masalah Covid-19. Kegagalan menanganinya menyebabkan perkembangan sukan di rantau ini terbantut," katanya.

Terdahulu, lapan negara termasuk Malaysia membantah cadangan Vietnam supaya Sukan Sea Hanoi berlangsung pada tahun depan.

Berdasarkan mesyuarat yang diadakan Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) sebelum ini, menyaksikan lapan daripada 11 negara menyatakan pendirian mereka untuk kejohanan itu tetap berlangsung hujung tahun ini.

Antara alasan yang dikemukakan negara berkenaan adalah mereka sudah melakukan persiapan untuk mengharungi kejohanan dwi tahunan terbabit.

"Oleh kerana bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat di rantau ini, adalah menjadi keutamaan Jawatankuasa Penganjur Vietnam untuk memastikan Sukan Sea edisi ke-31 berlangsung dalam suasana lebih selamat.

Mengikut rekod, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak setuju cadangan untuk menangguhkan Sukan Sea ke-31 ke tahun hadapan.

Mohamad Norza berkata, dengan sukan-sukan utama seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September), adalah tidak mampu untuk menyediakan atlet untuk satu lagi edisi sukan dalam kalendar tahunan yang sudah pun padat.

Selain itu, atlet Malaysia juga akan menyertai Sukan Solidariti Islam ke-5 yang dijadualkan pada Ogos di Konya, Turki dan Sukan Asia Dalam Dewan dan Seni Tempur Bangkok-Chonburi pada 10-20 Mac, 2022.

Sebelum ini, turut terdapat laporan sebuah portal berita di Vietnam, Vietnam Net, Sukan Sea yang dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember di Hanoi, berkemungkinan ditangguhkan ke Mac atau Jun tahun hadapan berikutan peningkatan kes Covid-19 di Vietnam dan negara Asia Tenggara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:59 PM