Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong. FOTO File NSTP
Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status penerjun negara, Cheong Jun Hoong layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 atau sebaliknya akan diketahui hujung bulan ini.

Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkata, tarikh akhir semua negara menghantar senarai nama adalah pada 21 Jun depan sebelum Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) memaklumkan Jun Hoong boleh menggalas cabaran negara ke Olimpik atau perlu menunggu lebih lama lagi.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya tidak mahu memberi harapan palsu kepada penerjun negara terbabit, namun pada masa sama tetap meneruskan latihan seperti biasa.

"Kita mesti tunggu jika masih ada slot lagi selepas semua negara menghantar senarai perenang masing-masing (12 terbaik) hujung bulan ini.

"Sebaik Fina menerima semua nama berkenaan, badan induk renang dunia itu akan melihat atau mengetahui berapa jumlah slot yang masih lagi kosong.

"Fina akan mula menyenaraikan perenang untuk tempat ke 13 dan seterusnya. Oleh itu, pada masa sekarang adalah lebih baik kita tunggu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, bekas juara dunia 2017 itu terpaksa menanti pengesahan daripada Fina berhubung statusnya untuk membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Difahamkan, Fina hanya memberikan 12 kuota bagi acara individu pada Piala Dunia Terjun 2021 berbanding 18 slot sebelum ini untuk layak secara automatik ke Olimpik Tokyo.

Jika hanya 12 kuota, ia bermakna Jun Hoong terpaksa melupakan hasratnya kerana dia menamatkan saingan 10m platform kejohanan itu pada tempat ke-18.

Keputusan itu sekali gus boleh dikatakan melebur impian Jun Hoong untuk mengulangi pencapaiannya pada Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.

Hal ini kerana saingan Piala Dunia Terjun 2021 April lalu adalah kejohanan terakhir untuk mana-mana atlet cuba melayakkan diri ke Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:29 PM