AHMAD Shapawi mengakui perlu melakukan sesuatu terhadap penerjun lelaki supaya kejayaan lebih gemilang boleh dicipta pada pertandingan akan datang. FOTO NSTP
AHMAD Shapawi mengakui perlu melakukan sesuatu terhadap penerjun lelaki supaya kejayaan lebih gemilang boleh dicipta pada pertandingan akan datang. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Aksi longlai yang dipamerkan skuad terjun lelaki negara khususnya penerjun senior yang disifatkan gagal menunjukkan prestasi membanggakan pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun boleh dikatakan membimbangkan sekali gus mendorong mengadakan 'post mortem' diadakan untuk menilai prestasi mereka.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, 'post mortem' penting bagi menilai kembali kemampuan atlet terjun lelaki negara sekali gus memperbaiki setiap kelemahan mereka.

Beliau berkata, prestasi yang dipamerkan pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun yang berakhir, Khamis lalu, cukup membimbangkan seterusnya perlu melakukan sesuatu supaya kejayaan lebih gemilang boleh dicipta pada pertandingan akan datang.

"Ada kebimbangan terhadap pasukan terjun lelaki kita, mereka masih lagi tidak dapat meletakkan diri mereka selaras dengan prestasi mereka pada tiga tahun lalu," katanya.

Pada saingan Piala Dunia Terjun FINA kali ini, skuad terjun lelaki pulang dengan tangan kosong malah lebih mengecewakan tiada seorang pun yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 termasuklah penerjun senior, Ooi Tze Liang yang sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh pada aksi final acara 3 meter (m) seirama bersama pasangannya, Chew Yiwei.

Sebagai rekod, Tze Liang berjaya melayakkan diri dan beraksi dalam acara 10m platform individu di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama seorang lagi penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3m papan anjal individu.

Berbeza dengan skuad terjun lelaki, penerjun wanita negara lebih menyerlah apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong memenangi pingat emas 10m platform individu selain Cheong Jun Hoong yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kita bangga dengan kejayaan Pandelela yang memenangi emas selain Jun Hoong yang membuat kemunculan semula selepas cedera pada 2018 untuk layak ke Olimpik," kata Shapawi.

Pandelela, 28, memenangi emas dalam acara berkenaan selepas melakukan terjunan bertenaga dan kemas dalam tujuh pusingan untuk mengumpul 355.70 mata.

Penerjun tuan rumah, Matsuri Arai di tempat kedua dengan 342.00 mata manakala Caeli McKay dari Kanada melengkapkan pentas podium dengan 338.55 mata.

Jun Hoong pula berjaya menempah tiket ke Olimpik Tokyo selepas mendominasi saingan pusingan kelayakan sebelum terkandas di separuh akhir.

Semua atlet terjun negara yang tiba, hari ini(semalam) akan menjalani kuarantin selama 14 hari seperti mana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh kembali menjalani latihan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:25 PM