MEDVEDEV rampas tempat Nadal. FOTO AFP
MEDVEDEV rampas tempat Nadal. FOTO AFP
AFP

Paris: Bintang Russia, Daniil Medvedev merampas kedudukan pemain nombor dua dunia daripada Rafael Nadal selepas senarai terkini ranking terkini ATP dikeluarkan hari ini dengan tiada pemain Amerika Syarikat (AS) dalam kelompok 30 teratas buat pertama kali.

Nadal tersingkir pada suku akhir Terbuka Madrid di tangan Alexander Zverev minggu lalu sekaligus mencetuskan persoalan mengenai hasratnya menjuarai Terbuka Perancis buat kali ke-14 yang turut bakal mengatasi rekod sepanjang zaman milik Roger Federer dengan 21 gelaran Grand Slam.

Pemain Jerman, Zverev kekal di tangga keenam walaupun menjuarai Masters pertamanya dalam masa tiga tahun.

Taylor Fritz pemain AS menduduki ranking tertinggi iaitu tangga ke-31, kali pertama AS tidak mempunyai wakil dalam carta 30 teratas sejak 1973.

Naib juara Terbuka Madrid, Matteo Berrettini melonjak satu anak tangga ke ranking ke-9 dunia.

Sementara itu, kejayaan Aryna Sabalenka menjuarai Terbuka Madrid kelmarin dengan menewaskan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty membolehkan pemain Belarus itu melonjak tiga anak tangga ke tangga keempat dalam senarai ranking terkini WTA.

Petra Kvitova pula yang mara ke suku akhir di Madrid melonjak ke tangga ke-10 manakala kemaraan pemain Sepanyol, Paula Badosa ke separuh akhir membolehkan dia melonjak 20 anak tangga ke ranking 42.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 8:04 PM