HATTON pemain nombor lapan dunia. FOTO AFP
HATTON pemain nombor lapan dunia. FOTO AFP
Agensi

London: Pemain golf nombor satu Britain, Tyrrell Hatton terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Valspar di Florida minggu ini selepas didapati positif koronavirus.

Hatton menjadi pemain keempat berbuat demikian susulan diuji positif Covid-19 selepas pemain Austria Sepp Straka dan dua pemain Amerika Syarikat, Will Gordon dan Brice Garnett.

Pemain nombor lapan dunia berusia 29 tahun itu berpasangan dengan rakan senegara, Danny Willett dalam kejohanan di New Orleans minggu lalu namun belum dapat disahkan sama ada Willett turut menarik diri.

"Jelajah PGA akan terus menghulurkan sokongan penuh kepada Hatton sepanjang tempoh kuarantin dengan mengikut garis panduan CDC," menurut kenyataan Jelajah PGA awal pagi tadi.

CDC - Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit adalah agensi kesihatan awam AS.

Gordon dan Garnett didapati positif menerusi ujian dijalankan kelmarin dengan Straka turut menarik diri selepas mengalami nasib sama pada pagi semalam manakala Hatton diuji positif petang semalam.

Pusingan pembukaan bermula Jumaat ini di Innisbrook Resort and Golf Club di Palm Harbor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 2:06 PM