Reezal Merican (tengah) bergambar bersama pegawai dan atlet selepas melancarkan Detik 100 hari ke Tokyo 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Reezal Merican (tengah) bergambar bersama pegawai dan atlet selepas melancarkan Detik 100 hari ke Tokyo 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Slogan 'Demi Malaysia' lonjak semangat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, demi memenangi pingat emas pertama pada temasya terbesar dunia itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata 'Demi Malaysia' akan menjadi genderang semangat dan lantunan kebersamaan menuju ke Tokyo.

"Demi Malaysia akan kita lakarkan menjadi laungan pembakar jiwa rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja, dalam apa jua yang kita lakukan.

"Untuk saya secara peribadi, Demi Malaysia ini terjelma jelas apabila kita, tidak hanya hadir di Olimpik sebagai peserta tetapi kita menjadikan kehadiran kita di Olimpik memberikan makna dan meninggalkan kesan.

"Kita ingin memberitahu bakal lawan-lawan kita di Tokyo apabila berhadapan dengan atlet Malaysia, mereka tidak akan berhadapan dengan lawan yang mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Detik 100 Hari ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mengulas lanjut, Reezal, berkata detik 100 hari ke Tokyo menandakan persiapan bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu kini memasuki fasa akhir.

"Pengiraan detik ke Tokyo ini bukan sahaja penting kepada atlet malahan ia juga menjadi sangat signifikan dan penting kepada rakyat Malaysia.

"Detik 100 hari menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan 132 hari ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 - ruang untuk kita menjulang semangat tinggi rakyat Malaysia. Semangat ini akan kita rangkumkan sebagai satu suara dengan irama dan gema yang sama," katanya.

Pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, kontinjen negara melakar pencapaian terbaik sepanjang penyertaan di Sukan Olimpik apabila meraih empat perak dan satu gangsa.

Pingat perak disumbangkan Datuk Lee Chong Wei (badminton), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton), Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun) manakala gangsa menerusi Azizulhasni Awang (basikal trek).

Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19 akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:43 PM