Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Lepasi pencapaian Datuk Lee Chong Wei dan tiga sukan menjadi sandaran di Sukan Olimpik Tokyo 2020, itulah cabaran yang dilaungkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurutnya, buat masa sekarang semua atlet diharap jangan mengalah dan teruskan usaha walaupun pelbagai cabaran terpaksa dilalui untuk temasya kali ini termasuk pandemik Covid-19.

"Dalam tempoh ini kita sudah melihat apa yang berlaku dan itu semua mampu dilalui oleh 30 orang atlet kita yang akan ke sana. Jadi ketua kontinjen, Datuk Lee Chong Wei mahu melihat ada yang boleh mengatasi pencapaian beliau," kata Reezal Merican.

Selain menjadi ketua kontinjen, Chong Wei juga dijadikan penanda aras dan contoh buat atlet yang akan bertanding pada temasya kali ini, selepas bekas jaguh badminton negara itu berjaya meraih perak berturut-turut di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

"Perkara ini diyakinkan selepas perjumpaan pembakar semangat sebentar tadi (secara maya). Sebelum mereka akan melalui amanat terakhir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selasa depan.

"Saya yakin bahawa persiapan yang mereka tunjukkan adalah berada pada paras amat tinggi, saya berdoa agar mereka diberikan keselamatan, kekuatan selepas sudah memulakan dalam tempoh setahun atau dua tahun lalu sekali gus mampu membawa kembali kejayaan ke tanah air," katanya.

Ujarnya, secara realistik tiga sukan menjadi sandaran untuk mencipta kejayaan di Tokyo iaitu terjun, berbasikal dan badminton.

"Ini adalah sandaran utama, tapi sukan lain turut mempunyai keupayaan tersendiri. Tiga sukan ini diharap mampu menyumbang pingat seperti mana yang berlaku di Rio.

"Memadai tiga sukan itu diharapkan untuk mencipta sesuatu. Manakala atlet lain sudah pasti mahu memahat sejarah tersendiri, jika tidak mampu membawa pulang pingat, mereka akan berusaha memecahkan rekod peribadi ataupun rekod kebangsaan," katanya.

Temasya kali ini menyaksikan Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 jenis acara merangkumi 10 jenis sukan.

Mereka adalah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kesemuanya badminton).

Selain Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee bagi acara terjun, Gavin Green, Kelly Tan (golf), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik), Suryani Mohamed Taibi (menembak), Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).

Kelompok kedua dan ketiga atlet dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 dan 25 Julai ini.

Skuad pelayaran negara terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Jepun bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang bakal berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:27 PM