PELUMBA Britain, Mark Cavendish memenangi perlumbaan peringkat ke-13 edisi ke-108 Tour de France, hari ini, yang juga kemenangan peringkat ke-34 buatnya. FOTO AFP
PELUMBA Britain, Mark Cavendish memenangi perlumbaan peringkat ke-13 edisi ke-108 Tour de France, hari ini, yang juga kemenangan peringkat ke-34 buatnya. FOTO AFP
AFP

Carcassonne, Perancis: Mark Cavendish menyamai rekod sepanjang zaman iaitu 34 kemenangan peringkat perlumbaan di Tour de France (TdF) apabila melintasi garisan penamat di Carcassonne, hari ini.

Ia adalah kemenangan keempat Cavendish bagi edisi pada 2021 ini dan menyaksikan jaguh pecut Britain itu menyamai rekod berusia 46 tahun dicipta Eddy Merckx di TdF.

Sehingga hari ini, Cavendish tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyamai rekod Merckx, pelumba Belgium disanjunginya yang turut muncul juara TdF sebanyak lima kali.

"Ia hanya satu lagi kemenangan di Tour de France," katanya.

"Saya tidak boleh membandingkan diri saya dengannya," kata pelumba Britain itu yang memiliki bagi dua lagi perlumbaan di laluan mendatar, sekali gus memberi peluang mengatasi rekod iti.

"Eddy Merckx adalah pelumba hebat sepanjang zaman dan dia akan kekal begitu," kata Cavendish.

"Semua kemenangan saya adalah laluan membabitkan pecutan. Tetapi jika ada kemenangan saya itu boleh menjadi inspirasi kepada kanak-kanak, ia amat saya alu-alukan," kata pelumba pasukan Deceuninck itu yang mendapat sokongan padu rakan sepasukannya sebelum melintasi garisan penamat.

Cavendish dilihat berlaga bahu dengan pelumba lain ketika memecut dan tampil menjelaskan mengenai kejadian itu.

"Saya ada masalah kerana ruang sempit dan jika saya bersandar kepada orang lain, nampak seperti saya menghantuk kepalanya. "Komisar perlumbaan ada bercakap dengan saya ketika pecutan pertama," jelasnya.

Tadej Pogacar mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan memiliki kelebihan lima minit berbanding pelumba lain.

"Saya rasa bagus hari ini," kata pelumba Slovenia itu yang turut memuji Cavendish.

"Saya melihat dia berlumba sejak kecil, melihat dia memecut seperti Rocketman, semua penghormatan untuknya," kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Disember lalu, karier Cavendish dalam dilema apabila tidak memiliki pasukan, gagal menang Tour de France selama lima tahun dan berhempas pulas menentang virus Epstein Barr yang menyebabkan dia keletihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 12:47 AM