VELODROM yang terletak di Dungun hampir siap. FOTO FB Ahmad Anwari
VELODROM yang terletak di Dungun hampir siap. FOTO FB Ahmad Anwari
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Lebih ramai 'The Pocket Rocketman' diharapkan akan dapat dilahirkan selepas velodrom di Dungun dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Lebih manis, ia adalah negeri kelahiran dan kampung halaman jaguh berbasikal trek negara yang kini menghuni ranking nombor satu dunia dalam acara pecut, Azizulhasni Awang.

Azizul turut berkongsi perkembangan terkini pembinaan velodrom berkenaan di laman Facebooknya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit merealisasikan impian itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini, velodrom berkenaan sudah 51 peratus siap dan tujuh peratus lebih cepat berbanding jangkaan pembinaan.

Katanya, biarpun negara dan dunia terkesan dengan wabak Covid-19, operasi sektor pembinaan dapat berjalan seperti biasa melalui penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Alhamdulillah setakat ini semua berjalan mengikut apa yang dirancangkan malah kemajuan pembinaannya juga cepat tujuh peratus bersamaan 101 hari. Tiada juga kos tambahan kerana semua berjalan dengan amat baik.

"Velodrom ini dijangka siap pada April tahun depan dan adalah menjadi harapan kami agar dengan terbinanya velodrom ini dapat melahirkan lebih ramai atlet baharu dengan latihan yang lebih bersistematik.

"Adalah menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai belia Terengganu lebih serius dalam sukan berbasikal ini dan jika boleh saya mahu lihat lebih ramai The Pocket Rocketman dapat dilahirkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 8:25 PM