JUN Hoong terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut pada 2018 dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak itu. FOTO AIZUDDIN SAAD
JUN Hoong terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut pada 2018 dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak itu. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Terjun Antarabangsa secara maya akan menyaksikan penampilan pertama ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong di pentas pertandingan selepas dua tahun berehat akibat kecederaan.

Kejohanan secara maya yang pertama kali dianjurkan di dunia itu adalah pentas terbaik buat juara dunia 2017 menilai prestasi kerana sudah tidak mempunyai banyak masa menjelang Kejohanan Terjun Piala Dunia di Jepun April tahun depan, kejohanan terakhir untuk atlet melayakkan diri ke Olimpik Tokyo.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen dalam sidang media mengesahkan perkara itu dengan semua penerjun negara akan mengambil bahagian.

Kata Mae Chen, Jun Hoong sudah bersedia untuk bertanding dan ia adalah peluang terbaik bagi dirinya menilai prestasi ketika tiada pertandingan dianjurkan kesan daripada pandemik Covid-19.

"Saya gembira memaklumkan bahawa Jun Hoong sudah bersedia untuk bertanding. Pertandingan itu nanti bukan satu yang mudah kerana ia agak mencabar berikutan membabitkan penyertaan daripada negara luar.

"Untuk Jun Hoong sendiri, selepas dua tahun ini adalah masa terbaik untuk dia menilai prestasi berikutan kejohanan seterusnya buat dirinya mungkin sekitar bulan Mei sebab dia tidak layak beraksi di Kejohanan Terjun Siri Dunia Februari nanti," katanya.

Jun Hoong yang meraih emas dalam acara 10m platform di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary pada Julai 2017 terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut pada 2018 dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak itu.

Dia turut terlepas peluang beraksi di Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Kejohanan Terjun Antarabangsa secara maya itu akan berlangsung dari 5 hingga 6 Disember ini membabitkan penyertaan 47 atlet dari Australia, New Zealand, Jepun, Singapura dan Malaysia.

Pengadilan akan turut membabitkan pengadil dari setiap negara juga akan dilakukan secara maya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:58 PM