Pandelela Rinong dijangka turut mengambil bahagian dalam kejohanan. FOTO File NSTP
Pandelela Rinong dijangka turut mengambil bahagian dalam kejohanan. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet terjun negara mempunyai peluang terakhir untuk memburu tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada kejohanan terjun Piala Dunia 2021 yang akan berlangsung di Tokyo, 1 hingga 6 Mei ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS) Mae Chen yakin atlet terjun negara mampu meraih slot tambahan ke temasya sukan berprestij berkenaan pada kejohanan kali ini.

"Saya harap tiada lagi perubahan dan kejohanan itu akan berlangsung. Kami mengadakan percubaan pada dua hari lepas dan gembira melihat skuad terjun negara dalam keadaan sangat bersemangat," katanya.

Kejohanan Piala Dunia sebelum ini dijadualkan berlangsung di Tokyo pada 18-23 April itu bagaimanapun dibatalkan atas sebab keselamatan berikutan pandemik Covid-19.

Kejohanan Terjun Piala Dunia adalah platform kelayakan terakhir untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet terjun yang mengintai peluang untuk layak ke Olimpik pada kejohanan kali ini adalah Cheong Jun Hoong, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang manakala atlet terjun lain seperti Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee yang telah layak, turut menyertai kejohanan itu.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 9:16 PM