Jun Hoong masih dalam proses untuk sembuh. FOTO NSTP
Jun Hoong masih dalam proses untuk sembuh. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


BELUM ada sebarang jaminan daripada ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong untuk dapat melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo ketika dia masih bergelut dengan kecederaan yang dialami.

Mengakui bahawa kecederaan semakin berkurangan mahu masih lagi menjalani rawatan pemulihan dan fisiotrapi, Jun Hoong berkata, dia tidak dapat memberi sebarang jaminan untuk kembali ke arena pertandingan dalam masa terdekat ini.

Namun jauh di sudut hatinya sudah tidak sabar untuk beraksi dan berharap kembali pulih seperti biasa.

"Sasaran saya tahun ini untuk cepat pulih. Itu yang penting. Saya mahu kesihatan saya pada tahap terbaik sebelum memikirkan pertandingan.

"Biarpun saya sedar proses itu mengambil masa kerana faktor usia, saya akan memastikan mengikut jadual rawatan yang ditetapkan," katanya.

Jun Hoong yang meraih pingat emas acara 10m platform di Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Julai 2017 terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut tahun lalu.

Kecederaan dialaminya itu turut menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terlepas peluang untuk menyertai Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

Bagaimanapun terdapat tiga pertandingan yang menawarkan aksi kelayakan ke Olimpik Tokyo yang mana ia bermula di Kejohanan Dunia di Korea Julai ini diikuti Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September selain Piala Dunia di Tokyo pada April tahun depan.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagaimanapun sudah sedia maklum bahawa Jun Hoong yang juga olahragawati Kebangsaan 2017 itu akan terlepas dua pertandingan kelayakan iaitu Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

Namun menerusi Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen, ASUM akan cuba memastikan bahawa Jun Hoong sekurang-kurangnya mampu mencuba nasib dengan menyertai Kejohanan Piala Dunia di Tokyo April tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:04 PM