PEMAIN Belgium, Thomas Crols (kiri) mengawal bola daripada dirampas pemain Kanada, Callan McCulloch pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Belgium, Thomas Crols (kiri) mengawal bola daripada dirampas pemain Kanada, Callan McCulloch pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Belgium seakan-akan melepaskan geram selepas kecewa tidak layak ke suku akhir Piala Dunia Remaja dengan membelasah Kanada 12-0 dalam perlawanan klasifikasi sembilan hingga 16, hari ini.

Skuad bimbingan Jeroen Baart jelas mendominasi permainan dan tidak memberikan ruang kepada pemain Kanada bergerak bebas untuk mendapatkan jaringan.

Malah, anak buah Baart mengekalkan permainan pantas dan terus memberi tekanan kepada lawan serta tidak mempersia-siakan setiap peluang terhidang terutama menerusi pukulan sudut penalti.

Jelas Baart, kemenangan besar ke atas Kanada disebabkan kekecewaan mereka gagal layak ke suku akhir.

"Kami sangat kecewa selepas perlawanan dengan Pakistan kerana saya rasa kami sepatutnya bermain di suku akhir dan dalam beberapa hari baik, boleh mencabar untuk mendapatkan pingat.

"Saya sangat bangga dengan pasukan kerana cara mereka bangkit hari ini, walaupun kami mempunyai lebih banyak kualiti berbanding lawan (Kanada), kami mampu mencipta beberapa gol berpasukan sangat baik," katanya.

Dalam perlawanan itu, Belgium menjaringkan enam gol daripada 10 pukulan sudut penalti diperoleh mereka.

Belgium bertemu Malaysia dalam perlawanan klasifikasi sembilan hingga 12, Rabu ini.

Sementara Kanada pula akan bertemu Mesir dalam klasifikasi 13 hingga 16 pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:13 PM